suria

Empat Lelaki Bersenjatakan Pemotong Besi Dan Kayu Samun Pelukis Pelan

KUANTAN: Seorang pelukis pelan kerugian kira-kira RM3,600 apabila rumahnya dimasuki empat lelaki bersenjatakan pemotong besi dan kayu, di Bandar Putra, dekat Peramu di sini, Ahad.

Dalam kejadian 4.30 pagi itu, mangsa, 55, bersama isterinya, 49, sedang nyenyak tidur di dalam bilik tidur utama sementara anak lelakinya, 23, dan anak perempuannya, 17, tidur di bilik masing-masing.

Menurut Pegawai Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang ASP Noor Asyikin Shamsuri, polis menerima panggilan berhubung kes tersebut pada 4.40 pagi sebelum bergegas ke rumah mangsa.

"Menurut mangsa, hanya anak lelakinya diikat dengan wayar sementara dia, isteri dan anak perempuannya tidak sempat diikat," katanya kepada Bernama di sini, Isnin.

Beliau berkata mangsa hanya menyedari kejadian tersebut apabila terdengar jeritan anak perempuannya sebelum bergegas bangun.

"Apabila keluar daripada bilik, mangsa mendapati empat lelaki yang menutup muka sambil memegang pemotong besi dan kayu berada di dalam rumahnya.

"Anak lelakinya yang diikat itu tiba-tiba bertindak berlari semula ke bilik tidurnya sambil menjerit sekuat hati meminta tolong sebelum menelefon polis.

"Keempat-empat suspek menggelabah sebelum melarikan diri bersama sebuah komputer riba dan telefon bimbit,"katanya.

Siasatan awal mendapati suspek memasuki rumah mangsa melalui pintu bahagian tepi yang diumpil dan polis percaya suspek merupakan warga asing. - BERNAMA

Artikel Lain