suria

Dua Beradik Didakwa Menyebabkan Cedera Parah Ke Atas Saudara Kandung

KUALA LUMPUR: Dua beradik, pada Isnin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan mencederakan saudara kandung mereka di pekarangan tempat letak kereta di Sentul, pada Mac lepas.

M. Sanger, 41, yang bekerja sebagai penjual besi buruk dan M. Thiagarajan, 32, pembantu am rendah, didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap pengurus operasi Salam Marimuthu, 36, dengan bersenjatakan sebatang kunci stereng di pekarangan tempat letak kereta kawasan perumahan kedai, Taman Mastiara, Jalan 7/18D, Off Jalan Ipoh, Sentul di sini pada 3 pagi, 3 Mac lepas.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum di bawah seksyen dan akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Kee Wei Lon menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin terhadap setiap tertuduh namun peguam Nurul Fatihah Abdul Ghani memohon jaminan itu dikurangkan kepada RM5,000 kerana ia berpatutan dengan kemampuan kedua-dua anak guamnya.

Nurul Fatihah berkata kes itu juga melibatkan pergaduhan kerana salah faham yang timbul antara keluarga dan ia dapat diselesaikan sekiranya mereka berbincang.

Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain membenarkan Sanger dan Thiagarajan masing-masing diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin selain perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali.

Mereka juga dilarang mengganggu atau berhubungan dengan mana-mana saksi pendakwaan sehingga perbicaraan selesai. Mahkamah menetapkan 29 Jun untuk sebutan semula kes. - BERNAMA

Artikel Lain