suria

Salah Guna Pas Pekerja: 23 Rakyat Asing Ditahan

KUALA LUMPUR: Seramai 23 rakyat asing, yang dipercayai menyalahgunakan pas pekerja, ditahan dalam Operasi 6P di kawasan Masjid India petang Sabtu.

Operasi yang dijalankan dengan kerjasama antara Jabatan Imigresen Kuala Lumpur, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bermula pada 5 petang dan berakhir dua jam kemudian.

Ketua Unit Operasi dan Risikan Jabatan Imigresen Kuala Lumpur Amdan Yahya berkata mereka yang ditahan merupakan majikan dan pekerja berusia lingkungan 25 dan 45 tahun.

"Antara yang ditahan ialah dua wanita, dan ada yang berasal dari Myanmar, Bangladesh serta Indonesia dan bekerja di 20 buah premis... ada yang menggunakan pas pembantu rumah, pelawat biasa dan pekerja ladang, tetapi menyalahgunakan pas dengan bekerja di kedai," katanya kepada pemberita selepas operasi.

Beliau berkata mereka dibawa ke lokap tahanan Imigresen di Jalan Duta untuk siasatan lanjut dan pekerja terbabit akan disiasat mengikut Seksyen 39(b) Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas lawatan sosial manakala majikan pula mengikut Seksyen 55(b) akta sama kerana menggaji pekerja tanpa dokumen sah.

"Majikan dan pekerja hendaklah mematuhi peraturan Imigresen kerana pemantauan akan dibuat dari semasa ke semasa," katanya sambil menambah sebanyak 113 premis diperiksa dan tujuh daripadanya disita kerana tidak mempunyai lesen perniagaan yang sah. - BERNAMA

Artikel Lain