suria

NGO Mahu Kerajaan Pulau Pinang Beri Perhatian Nasib Kaum India

BUTTERWORTH: Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Angkatan Perpaduan India (API) mahu kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan DAP memberi perhatian terhadap masalah yang dihadapi kaum India di negeri itu.

Presidennya Manuel Lopez berkata walaupun ramai wakil rakyat daripada kaum itu dalam kerajaan negeri sekarang ini, tetapi mendakwa nasib kaum India masih tidak diberi perhatian.

"Pelbagai janji yang dibuat oleh mereka (kerajaan negeri) semasa kempen pilihan raya umum lepas tetapi sampai dah nak pilihan raya umum akan datang, janji-janji itu masih tidak ditunaikan.

"Kita juga ada wakil rakyat yang ramai tetapi nasib penduduk India di negeri ini masih terpinggir dalam pelbagai bidang berbanding kaum lain," katanya pada sidang akhbar di sini, Ahad.

Beliau berkata kerajaan negeri selalu melaungkan slogan adil dan telus kepada semua kaum di negeri itu tetapi tidak mengamalkannya.

"Mereka laungkan nak bantu tetapi sampai sekarang apa yang mereka bantu dan saya juga nak tanya berapa ramai pelajar India yang diberikan biasiswa oleh kerajaan negeri untuk melanjutkan pelajaran dalam pelbagai bidang profesional.

"Selain itu, saya nak tahu berapa ramai kaum India diberi peluang berkhidmat di pejabat Ketua Menteri," katanya.

Beliau berkata API mengambil pendekatan dengan membuka pusat khidmat di Perai bagi membantu menangani pelbagai masalah yang dihadapi oleh kaum India.

"Pusat itu akan mengumpul pelbagai aduan dan setiap aduan tersebut akan disalurkan kepada agensi kerajaan untuk tindakan selanjutnya," katanya. BERNAMA

Artikel Lain