suria

Miti Pertimbang Cadangan Wujudkan Pusat Perdagangan Di Jerlun

SINTOK: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) bersedia mempertimbangkan cadangan pihak tertentu untuk mewujudkan satu pusat perdagangan di Jerlun dekat sini bagi membantu aktiviti import dan eksport barangan antara Malaysia dengan Thailand.

Timbalan Menterinya, Datuk Mukhriz Tun Mahathir berkata Miti sememangnya mahu mewujudkan satu pusat perdagangan di kawasan utara bagi membolehkan urusan import dan eksport dengan Thailand dapat dijalankan dengan lebih baik.

Bagaimana pun, Mukhriz, yang juga Anggota Parlimen Jerlun, berkata cadangan pembukaan Pusat Perdagangan Jerlun (JTC) itu memerlukan pertimbangan yang berdasarkan perincian perisian pusat perdagangan itu.

"Apabila semuanya telah diteliti, saya akan membantu membuat satu cadangan yang menyeluruh, yang mengambil kira semua aspek supaya apa yang kita nak buat ini kita akan berjaya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Wacana Ekonomi Jerlun di sini Sabtu.

Pengerusi Penaja Koperasi Pemaju Jerlun Berhad Izhar Azimat semasa berucap pada majlis itu mencadangkan penubuhan JTC sebagai tempat untuk mengumpul produk dari Jerlun sebelum dipasarkan.

Mukhriz berkata cadangan untuk mewujudkan JTC boleh membantu mengumpul hasil usaha para pengusaha di Jerlun.

"Produk itu nanti akan dipamerkan kepada pengunjung dan mungkin JTC boleh dijadikan ruang pameran yang menjadi satu tarikan pelancongan bagi orang yang lalu atau singgah untuk melihat hasil yang terdapat di kawasan itu," katanya.

Selain itu, katanya produk lain dari sebelah utara boleh turut dipamerkan di pusat perdagangan itu dan pembeli dari negara jiran (Thailand) dapat datang melihat sendiri dan berurusan dengan pengusaha dan selain itu barangan Thailand juga boleh diletakkan di situ untuk dipasarkan dalam Malaysia.

"Saya juga bersetuju kalau kita boleh jenamakan produk di Jerlun itu dengan nama 'Jerlun' supaya wujud satu imej yang baik mengenai kualiti produk kita," katanya sambil berharap produk yang dihasilkan di Jerlun berbeza dengan produk lain.

Selain itu, Mukhriz berkata beliau juga berminat membantu koperasi di Kedah memperluaskan dan mengembangkan lagi perniagaan agar dapat memenuhi permintaan pasaran luar termasuk Perlis, Pulau Pinang dan Perak malah mungkin juga Thailand dan Indonesia. - BERNAMA

Artikel Lain