suria

Penjual Akhbar & Suami Bebas Daripada Tuduhan Pemerdagangan Orang

PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat membebaskan dan melepaskan seorang penjual akhbar serta suaminya daripada pertuduhan memperdagangkan lima warga India untuk bekerja secara paksa, pada Jun tahun lepas.

Hakim Haiyatul Akmal Abdul Aziz berkata di akhir kes pendakwaan bahawa pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadap S. Suguna, 38, dan P. Ramasamy, 49.

Beliau berkata terdapat banyak percanggahan dalam keterangan saksi utama, lebih-lebih lagi daripada lima pengadu (warga India).

Haiyatul Akmal berkata keterangan yang dikemukakan oleh 14 saksi pendakwaan menunjukkan warga India itu bekerja secara sukarela dengan pasangan berkenaan.

Beliau turut menegur polis dan Jabatan Tenaga Kerja kerana menjalankan siasatan yang berat sebelah dalam kes itu.

Suguna dan Ramasamy, didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda.

Mereka didakwa dengan lima pertuduhan memperdagangkan G. Boominathan, 31, R. Prabhu, 23; R. Suseendran, 26, S. Ramadoss, 40, dan S. Rathakrishnan, 45.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada 25 Jun tahun lepas kira-kira 1 pagi di Taman Wawasan, Pusat Bandar Puchong.

Pasangan itu diwakili peguam K. Saraswathy manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Dhiya Syazwani Izyan Mohd Akhir. - BERNAMA

Artikel Lain