suria

Liow Boleh Dapat "WWW 15" Secara Percuma - JPJ

KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai mempunyai tiga pilihan, termasuk mendapatkan nombor pendaftaran 'WWW 15' secara percuma, sesuai dengan kelayakan yang diberi kepadanya oleh kerajaan iaitu sebagaimana yang dipohon dengan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Dalam satu kenyataan, Jumaat, Ketua Pengarah JPJ Datuk Solah Mat Hassan berkata Liow juga mempunyai dua pilihan lain iaitu membayar dengan harga tertinggi yang ditawarkan iaitu RM24,200 untuk mendapatkan nombor pendaftaran itu atau menolak tawaran tersebut jika tidak berminat.

Solah berkata JPJ menerima permohonan untuk mendapatkan nombor 'WWW 15' daripada Liow untuk kegunaan kenderaan rasmi melalui surat permohonan bertarikh 14 Mei 2012, iaitu pada hari terakhir nombor pendaftaran 'WWW' dibuka untuk bidaan.

Katanya Jawatankuasa Penilai Tempahan Nombor Pendaftaran Siri 'WWW' seterusnya memutuskan bahawa nombor pendaftaran itu ditawarkan kepada Liow dengan harga tertinggi iaitu RM24,200.

Beliau berkata JPJ juga memaparkan nama pembida berjaya kepada umum selaras dengan prinsip ketelusan yang diamalkan dalam pengurusan tempahan nombor pendaftaran.

"Ia juga kerana bidaan telah dibuat oleh orang ramai, sudah tentu mereka ingin tahu siapa yang memenangi nombor yang dibida. Pemenang bagi siri-siri sebelum ini juga kita paparkan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain