suria

Gadis Orang Asli Cedera Dilibas Gajah Di Taman Negara Endau-Rompin

JOHOR BAHRU: Seorang gadis Orang Asli mengalami patah bahu kiri dan pinggul kanan selepas dilibas belalai gajah dalam kejadian di kawasan Pantai Burung, Taman Negara Endau-Rompin, dekat Mersing, petang Khamis.

Pemangku Ketua Polis Daerah Mersing, Asisten Superitendan Muhd Toff Maaroff berkata, kejadian berlaku 6.30 petang ketika Zubedah Ayong, 19, yang tinggal di Kampung Peta sedang mencari pucuk paku bersama dua lagi kakaknya, Roslina, 28, dan Rasidah, 30.

"Ketiga-tiga mereka telah terserempak dengan sekumpulan gajah yang naik minyak ketika baru sahaja memetik pucuk paku di kawasan itu.

"Beberapa kakitangan Taman Negara dan penduduk setempat kemudian menyelamatkan gadis berkenaan," katanya ketika dihubungi, di sini Jumaat.

Beliau berkata, Zubedah dihantar ke Hospital Mersing sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Ismail, di sini awal pagi Jumaat. Sementara itu, Zubedah ketika ditemui di wad Hospital Sultan Ismail, pada Jumaat berkata, dia dan dua kakaknya itu terkejut apabila melihat seekor gajah dewasa bersama dua ekor anaknya meluru berlari ke arah mereka.

"Kami terus berlari menyelamatkan diri sebelum saya jatuh tersungkur apabila tersadung tunggul kayu. Ketika tersungkur itu, saya dapati gajah dewasa berkenaan melangkah badan saya dengan belalainya melibas pinggul kanan saya," katanya yang masih trauma.

Zubedah berkata, dia bersyukur ketiga-tiga gajah berkenaan terus berlari ke arah sungai tanpa berbuat sesuatu yang lebih buruk terhadap mereka.

Menurutnya, dia sudah biasa terserempak dengan gajah sejak kecil lagi, bagaimanapun, tidak pernah diapa-apakan sebelum ini.

"Saya tidak rasa gajah itu sengaja ingin mencederakan kami kerana mungkin juga gajah itu terkejut melihat kami.

"Saya jarang mengikut kakak mencari pucuk paku. Mungkin kejadian semalam sudah nasib saya," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain