suria

Cukai Jualan Ke Atas Petrol Tidak Dikenakan

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak pernah mengenakan cukai jualan bagi pembelian petrol kerana tidak mahu membebankan rakyat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata cukai jualan bagi petrol adalah 58 sen seliter dan kerajaan tidak pernah mengutipnya daripada pengguna.

Ketika menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa harga petrol premium RON97 kini lebih murah berbanding RON95, beliau berkata mereka yang membuat dakwaan itu meninggalkan aspek cukai jualan apabila membandingkan harga pasaran sebenar kedua-dua gred tersebut.

"Mereka sengaja cuba mengelirukan rakyat dengan meninggalkan aspek cukai jualan terhadap RON97," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival India Global 2012, di sini pada Khamis.

"Harga pasaran sebenar bagi RON95 sepatutnya RM3.18 yang mana subsidi kerajaan sebanyak 70 sen dan cukai jualan 58 sen ditambah pada harga di pam iaitu RM1.90 seliter.

"Bagi RON97, harga pasaran sebenar dengan cukai ialah RM3.38 (RM2.80 + 58 sen cukai jualan," katanya.

Ini bermakna, katanya kerajaan bukan sahaja memberi subsidi bagi petrol RON95 tetapi juga tidak mengenakan cukai jualan terhadap petrol gred itu.

Sehingga hari ini, harga petrol RON95 masih RM1.90 seliter, manakala RON97 pula turun 10 sen kepada RM2.80 susulan penurunan harga minyak mentah dunia.

Harga RON97 tidak disubsidi tetapi ditentu mengikut harga pasaran dunia.

"Saya harap rakyat faham bahawa apabila harga RON97 turun tidak bermakna harga RON95 juga turun," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Malaysia India yang juga pengerusi penganjur festival, Jaggora Simancha berkata badan tersebut merancang mengadakan misi perdagangan ke Hyderabad, India pada suku kedua 2013.

Ini adalah usaha untuk membantu usahawan tempatan menembusi pasaran India yang besar, katanya menambah misi juga akan memperkenalkan industri kecil sederhana selain produk dan perkhidmatan halal.

"Kami juga berharap untuk mempromosi dan menjadikan Malaysia hab penyumberan pilihan bagi rantau Asean dalam kalangan usahawan India," katanya.

Eksport Malaysia ke India telah meningkat secara positif dari tahun ke tahun dengan RM20.9 bilion dicatat pada 2010 dan RM28.9 pada tahun lalu.

Untuk suku pertama tahun ini, nilai eksport dicatat pada RM6.1 bilion.

Festival yang akan berlangsung sehingga 10 Jun itu mempamerkan pelbagai produk seperti tekstil, barangan perhiasan, makanan dan minuman serta dijangka dapat menarik 400,000 pelawat. BERNAMA

Artikel Lain