suria

Rasuah: Pegawai Latihan Vokasional Dipenjara Tiga Tahun, Denda RM20,000

SHAH ALAM: Seorang pegawai latihan vokasional dihukum penjara tiga tahun dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah memperoleh suapan RM3,370 daripada seorang pengurus syarikat pada April tahun lepas.

Hakim M.Bakri Abd Majid juga memerintahkan Muhamad Hanusi Hasim, 34, dari Tronoh, Perak dipenjara enam bulan lagi jika gagal membayar denda.

Beliau juga mengarahkan hukuman terhadap tertuduh berkuat kuasa dari tarikh tangkap iaitu 25 Julai 2011.

Dalam penghakimannya, M.Bakri berkata pembelaan Muhamad Hanusi bersifat penafian semata-mata serta gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu proses rayuan, namun menaikkan jumlah jaminan dari RM6,000 kepada RM10,000 dengan seorang penjamin.

Muhamad Hanusi, yang bertugas di Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST), didakwa melakukan kesalahan itu di Kompleks PKNS di sini pada 3.26 petang, 28 April 2011.

Mengikut pertuduhan, Muhamad Hanusi memperoleh suapan itu daripada pengurus sebuah syarikat sebagai dorongan agar dia tidak membatalkan barang tambahan dan penukaran barang satu syarikat lain bagi kerja membekal aksesori komputer.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 bergantung mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sepuluh saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Mahamad Sukri Abu Seman manakala Muhamad Hanusi diwakili peguam Ravindran Devadesan. - BERNAMA

Artikel Lain