suria

Rakyat Selangor Perlu Desak Kerajaan Negeri Selesai Isu Air

HULU SELANGOR: Rakyat Selangor disaran menggesa kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk segera menyelesaikan isu air di negeri itu yang semakin meruncing.

Ketika membuat gesaan itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata jika tidak ditangani segera, rakyat Selangor akan berhadapan dengan situasi amat sukar.

"Ini bukan soal politik, ini soal survival, soal kepentingan hidup rakyat kerana keperluan bekalan air mencakupi segenap aspek kehidupan.

"Ini satu masalah yang serius dan saya minta rakyat mendesak menteri besar supaya menyelesaikan masalah ini dengan cepat yang mana kerajaan pusat juga telah berunding berulang kali mengenai perkara ini sehingga Datuk Peter Chin Fah Kui (Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air) juga hendak disaman sedangkan kita berjuang untuk menyelesaikan masalah besar yang dihadapi rakyat," katanya.

Muhyiddin berkata demikian ketika merasmikan majlis pecah tanah pembinaan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Tamil Ladang Bukit Minyak di sini, Khamis.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar dan Anggota Parlimen Hulu Selangor P.Kamalanathan.

Muhyiddin berkata sebagai Pengerusi Jawatankuasa Mengenai Sumber Air Negara, beliau terpaksa membangkitkan perkara itu memandangkan segala perbincangan pihaknya dengan wakil kerajaan Selangor bagi mencari penyelesaian isu itu tidak menunjukkan sebarang perkembangan positif.

Sambil menjelaskan tindakannya acap kali membangkitkan isu itu bukan berpaksikan kepentingan politik, Timbalan Perdana Menteri berkata beliau berbuat demikian kerana melibatkan soal kebajikan dan kepentingan umum.

"Tetapi malang seribu kali malang, Menteri Besar dan barisan pemimpin Selangor bersikap sambil lewa berhubung perkara itu, yang minta kerajaan pusat membuat pelbagai perkara tetapi (mereka) dengan tidak bertanggungjawab tidak meluluskan permohonan pusat untuk pembinaan segera projek Loji Rawatan Air Langat 2.

"Agak luar biasa bila saya mendengar kenyataan MB Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim yang mengatakan isu itu tidak menjadi masalah, malah beliau panggil pemberita dan tunjukkan kawasan empangan dengan air yang banyak.

"Memanglah banyak sekarang ini dan kalau hujan makin naiklah parasnya tetapi mengikut perkiraan pakar, bekalan air di Selangor yang menyatakan jika loji baru itu tidak dibina sekarang, seluruh Selangor dan Wilayah Persekutuan akan berhadapan masalah bekalan air memasuki tahun 2014," kata Muhyiddin.

Muhyiddin berkata isu yang tidak berkesudahan itu telah mendatangkan kerugian kepada Selangor dan penduduknya apabila 138 pemaju dikatakan terpaksa menangguh pembinaan projek di negeri itu kerana tiada jaminan bekalan air mencukupi jika beroperasi kelak.

Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat Selangor supaya mengembalikan semula kuasa memerintah negeri kepada BN pada pilihan raya umum akan datang kerana kerajaan Selangor ketika ini tidak boleh membantu menyelesaikan masalah yang berkait rapat dengan kepentingan umum itu.

"Selangor sudah jadi negeri termaju di Malaysia... jangan nanti Selangor menurun taraf dan pembangunannya hanya kerana sikap ketua kerajaan dan parti yang menerajui kerajaan yang tidak bertanggungjawab, kerana yang menjadi mangsa ialah rakyat Selangor sendiri," katanya.

Loji Rawatan Air Langat 2 adalah sebahagian daripada Projek Penyaluran Air Mentah dari Pahang ke Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Projek itu melibatkan pembinaan terowong sepanjang 44.6km untuk menyalurkan air dari Sungai Semantan di Pahang ke Sungai Hulu Langat di Selangor melalui Banjaran Titiwangsa.

Bagaimanapun, projek itu tertangguh apabila kerajaan Selangor enggan meluluskan arahan pembangunan. BERNAMA

Artikel Lain