Polis Siap Sedia Banteras Bookie Euro - Semasa | mStar

Polis Siap Sedia Banteras Bookie Euro

KUALA LUMPUR: Pihak polis akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi membanteras sindiket judi membabitkan kejohanan bola sepak Euro 2012 yang akan bermula Jumaat ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata pihaknya sedang memantau laman web dan laman sosial berkaitan.

"Kita memang ada jalankan kerjasama dengan SKMM bagi membanteras perjudian ala bookie itu," katanya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin sebelum ini berkata bahawa terdapat beberapa individu termasuk orang kenamaan (VIP) di negara ini dikesan menjadi dalang yang menaja sindiket judi bola sepak Euro.

Berdasarkan maklumat awal dan pengamatan menerusi Ops Soga yang dilancarkan polis bagi membanteras jenayah pertaruhan bola pada 1 Mei lepas, Mohd Bakri berkata individu tersebut telah membuat pelaburan besar untuk menggerakkan operasi berkenaan yang melibatkan keuntungan berbilion ringgit.

Abdul Jalil berkata kerjasama dengan SKMM dijalankan berikutan kejayaan polis dalam mengekang perjudian seumpama itu pada kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010.

Beliau berkata pihak polis telah merangka pelan tindakan penguatkuasaan bersama SKMM bagi menghalang laman web judi antarabangsa diakses secara online melalui premis atau talian internet persendirian.

Beliau berkata pelan tindakan itu perlu bagi mengekang kegiatan sindiket perjudian secara dalam talian daripada berkembang.

"SKMM bertanggungjawab menyekat sesuatu laman web daripada diakses dan sekiranya SKMM dapat mengesan mana-mana laman web yang mendatangkan aktiviti tidak sihat, polis akan minta ianya disekat serta merta," katanya.

Abdul Jalil berkata risikan polis mendapati kebanyakan laman web perjudian antarabangsa yang dikesan adalah dari Hong Kong, Macau dan Taiwan menjadikan kegiatan tersebut sukar untuk dihentikan.

"Polis sukar menghentikan operasi dari akar umbi kerana ia berpangkalan di negara yang menghalalkan kegiatan perjudian, malah menjadi halangan untuk mematikan 'ibu' laman judi berkenaan. Kegiatan perjudian sudah lama wujud dan mereka berubah dari semasa ke semasa mengikut perkembangan teknologi," katanya.

Beliau berkata walaupun polis tidak mampu menghentikan operasi perjudian antarabangsa itu namun ia tetap bertindak menangkap kaki judi bola sepak di negara ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain