suria

Mayat Lelaki Rentung Dalam Kenderaan

JOHOR BAHARU: Mayat seorang lelaki yang rentung ditemui dalam sebuah kenderaan pacuan empat ronda dekat sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Jeram Batu, Pekan Nenas, Pontian, Khamis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Pontian, DSP Wan Razani Wan Ibrahim berkata polis menerima maklumat berhubung penemuan mayat itu kira-kira pukul 11.25 pagi selepas anak lelaki mangsa membuat laporan di Balai Polis Pekan Nenas.

"Mangsa yang berumur lingkungan 50an dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak semalam selepas keluar sendirian. Anak lelakinya mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan oleh seorang pemandu lori kelapa sawit yang mengecam kenderaan mangsa di ladang itu," katanya ketika dihubungi.

Wan Razani berkata polis sedang menyiasat kejadian itu dan pihaknya akan menunggu laporan patologi bagi menentukan sama ada mangsa dibunuh.

Pengenalan diri mangsa tidak diberikan.

Wan Razani berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Pontian untuk bedah siasat dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian berkenaan diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. BERNAMA

Artikel Lain