suria

Dua Sahabat Maut, Kereta Bertembung Lori

SEREMBAN: Dua sahabat maut selepas kereta mereka bertembung dengan sebuah lori di Batu 5, Jalan Seremban-Mantin di sini Rabu.

Dalam kejadian 10 pagi itu, Lim Chun Jie dan Siow Chang Seng, kedua-dua berumur 19 tahun yang dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerja mereka di Jalan Lobak di sini maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di badan, kepala dan kaki.

Jurucakap polis berkata siasatan awal mendapati kereta jenis Toyota Vios yang dipandu Lim dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh sebuah lori tanpa muatan yang datang dari arah hadapan.

"Lori tersebut gagal mengelak menyebabkannya bertembung dengan kereta mangsa dan mengakibatkan Lim tersepit di bahagian kakinya manakala Siow terperosok ke bahagian belakang tempat duduk penumpang," katanya.

Katanya pihak bomba mengambil masa kira-kira 20 minit sebelum mengeluarkan mayat mereka.

Menurut jurucakap itu, pemandu lori terbabit yang berusia lingkungan 50-an cedera parah akibat tersepit, bagaimanapun dia terselamat dan mendapat rawatan di Hospital Tuanku Ja'afar.

Pegawai Turus Trafik Negeri Sembilan, ASP Abdul Halil Hamzah mengesahkan kejadian itu dan berkata mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar untuk dibedah siasat. - BERNAMA

Artikel Lain