suria

Warga Asing Kupas Kulit Bawang Ditahan

JOHOR BAHARU: Seramai 32 warga asing yang bekerja membersihkan kulit bawang di sebuah rumah kedai di Taman Puteri Wangsa di sini yang dijadikan pusat pembekalan bawang ditahan pada Selasa kerana didapati melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen.

Mereka terdiri daripada 18 rakyat Vietnam, 10 rakyat Indonesia dan empat rakyat Myanmar.

Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Johor, Khairulanuar Abu Bakar dalam satu kenyataan berkata pekerja berkenaan yang terdiri daripada 25 wanita dan tujuh lelaki yang berumur antara 22 hingga 49 tahun telah dihantar ke Depoh Imigresen Pekan Nenas, Pontian untuk siasatan lanjut.

Sementara majikan mereka yang berumur 35 tahun disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 kerana menggaji pekerja asing tanpa pas dan permit.

Sementara itu dalam satu lagi serbuan di sebuah rumah di Taman Austin Perdana, turut ditahan ialah dua wanita rakyat Indonesia yang bekerja sebagai pembantu membuat kuih raya untuk musim perayaan akan datang.

"Mereka yang berumur 29 dan 43 tahun didapati tidak memiliki dokumen perjalanan dan pas yang sah," kata Khairulanuar. Beliau berkata pemilik rumah berkenaan turut disiasat lanjut. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain