suria

Saksi Beritahu Nampak Lelaki Tua Alami Sesak Nafas

KUALA LUMPUR: Seorang saksi pada Rabu memberitahu Mahkamah Koroner bahawa beliau ternampak seorang lelaki tua mengalami sesak nafas yang teruk sehingga terpaksa dipapah oleh empat pemuda menuju ke bangunan Avenue K, pada perhimpunan haram, 9 Julai tahun lepas.

Ahli perniagaan, M.Satees, 27, yang menyertai perhimpunan Bersih 2.0 itu memberitahu mahkamah bahawa beliau nampak lelaki tua itu semasa beliau beredar dari perhimpunan itu di bangunan Kuala Lumpur City Centre (KLCC).

Satees, bagaimanapun memberitahu mahkamah bahawa beliau kurang pasti sama ada lelaki tua yang dimaksudkanya itu adalah Allahyarham Baharudin Ahmad, pemandu teksi yang meninggal dunia ketika menyertai perhimpunan haram itu.

"Saya kurang pasti sama ada lelaki tua itu Baharudin atau tidak...lelaki itu berbangsa Melayu, memakai kopiah, saya lihat lelaki itu mengalami sesak nafas yang teruk semasa Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) melepaskan gas pemedih mata.

"Lelaki itu dipapah oleh empat pemuda menuju ke arah pusat beli-belah Avenue K," katanya ketika disoal peguam Ahmad Jufliz Faiza semasa prosiding inkues menyiasat punca kematian Baharudin.

Satees berkata selain lelaki tua itu, terdapat beberapa orang yang rebah termasuk seorang wanita selepas terkena tembakan gas sekitar jam 4.20 petang.

Saksi inkues ke-31 itu juga berkata beliau hanya mengetahui tentang kematian Baharudin ketika berada di KL Sentral selepas melayari laman sosial Twitter.

Terdahulu, Satees dalam keterangannya berkata beliau yang berada di KLCC bersama ribuan peserta perhimpunan yang lain mendengar ucapan oleh beberapa pemimpin Bersih antaranya Dr Mohd Hatta Ramli, Pengerusi PKR Johor Datuk Chua Jui Meng dan Ketua Cabang PKR Rembau Badrul Hisham Shaharin.

Katanya ketika mendengar ceramah itu beliau nampak polis meronda berulang kali di kawasan tersebut.

"Masuk kali keempat rondaan, saya nampak FRU datang dari arah Bank Simpanan Nasional (BSN) menuju ke arah kami dan kali ini tiada amaran atau loceng diberikan (dibunyikan) mereka (FRU) dan terus melepaskan gas pemedih mata dan orang ramai terus bertempiaran lari," katanya.

Inkues di depan Koroner Zulkpli Abdullah bersambung Rabu depan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain