suria

Rasuah: Bekas Ejen Astro Dipenjara Sehari

SEREMBAN: Seorang bekas ejen dari sebuah syarikat yang dilantik Measat Broadcast Network Systems Sdn Bhd (Astro) dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, rabu selepas mengaku bersalah atas tuduhan rasuah berkaitan pakej langganan seorang pelanggan Astro, dua tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Azrul Ahmad Ramli, 29, turut berdepan hukuman lima bulan penjara sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mohd Azrul membuat pengakuan itu setelah pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datin Nursinah Adzmi.

Mohd Azrul didakwa secara rasuah memperoleh nilai suapan RM200 daripada pengadu Norizan Abdul Aziz di Restoren D Norieez TomYam Seafood, Mantin Square, Jalan Besar Mantin, dekat sini sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan dengan melaporkan kepada pihak Astro untuk pemotongan perkhidmatan Astro bagi langganan kediaman atas nama suami pengadu yang digunakan di premis perniagaan terbabit, kira-kira pukul 8.40 malam, 19 Oktober 2010.

Mohd Azrul dituduh dibawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) Akta sama yang memperuntukkan penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi. Dalam rayuannya, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukumannnya diringankan kerana dia perlu membantu keluarga dan menanggung lima adik-beradiknya yang lain.

"Selepas kes berlaku, saya telah diberhentikan kerja. Saya juga akan melangsungkan perkahwinan pada hujung minggu ini, jadi saya mohon hukuman yang ringan," katanya.

Dalam penghakiman, Nursinah berkata, mahkamah mengambil kira rayuan tersebut namun mengingatkan supaya tertuduh insaf dan tidak mengulangi kesalahan itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Mohd Fairuz Johari. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain