suria

Polis Tahan Empat Lelaki Bantu Kes Banduan Dibunuh

NIBONG TEBAL: Polis menahan empat lelaki bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang banduan yang baru dibebaskan di Taman Tambun Indah di sini Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Supt Shafien Mamat berkata mereka yang ditahan itu termasuk pasangan adik beradik yang berusia antara 24 dan 27 tahun.

Katanya kempat-empat lelaki terbabit ditahan di tiga lokasi berasingan di sekitar Nibong Tebal pada Ahad dan Isnin.

"Hasil maklumat yang diterima, kita menahan pasangan adik beradik di sebuah rumah di Simpang Ampat pada pukul 9.30 malam Ahad dan susulan itu, polis menahan dua lagi rakan mereka secara berasingan di Valdor pada Isnin," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Beliau berkata salah seorang daripada mereka yang ditahan cedera di bahagian bahu dipercayai akibat pergaduhan. Katanya polis juga telah mengenalpasti beberapa lelaki termasuk suspek utama yang telah menyebabkan kematian mangsa dan usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan. "Kesemua mereka yang ditahan adalah anggota geng yang sama dengan mangsa dan siasatan mendapati mereka terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah," katanya.

Shafien berkata mereka kini direman sehingga 10 Jun ini bagi membantu siasatan menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian itu G. Shamugam, 28, yang baru dibebaskan dari penjara baru beberapa hari ditemui mati akibat dipukul dalam satu pergaduhan di hadapan sebuah restoran pada pukul 4.30 pagi. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain