suria

Pembangunan Tidak Terkawal Di Pulau Pinang Membimbangkan - Gerakan

GEORGE TOWN: Pembangunan tidak terkawal di Pulau Pinang, khususnya di kawasan berbukit dan pesisir pantai, oleh kerajaan negeri pimpinan pakatan pembangkang adalah membimbangkan, kata Naib Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Wong Mun Hoe.

Beliau berkata pembangunan tidak terkawal yang diluluskan dalam tempoh empat tahun lepas oleh kerajaan negeri juga telah menyaksikan peningkatan bantahan daripada kumpulan-kumpulan penduduk, yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Wong berkata kumpulan pengguna/aktivis alam sekitar seperti Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia telah menyuarakan kebimbangan mereka di samping penduduk yang tinggal berdekatan dengan projek-projek pembangunan seumpama itu.

"Bagi mereka yang tinggal di apartmen dan kondominium dekat kawasan pantai, pemandangan indah mereka akan lenyap selama-lamanya, dan dengan itu, nilai hartanah mereka akan merudum," katanya dalam kenyataan di sini Rabu.

Menurut Wong, terdapat sembilan projek bakal dilaksanakan di Tanjung Bungah, Batu Ferringhi, Bukit Gambir, Pantai Jerejak dan Sungai Ara dan lebih banyak lagi akan dilaksanakan.

Beliau berkata pembangunan berkenaan jelas menunjukkan tiada perancangan rapi yang telah mengakibatkan pembinaan projek yang tidak sekata di pulau berkenaan.

"Penduduk Pulau Pinang kini mempunyai peluang untuk memikirkan sedalam-dalamnya mengenai jenis kerajaan yang mereka mahukan.

"Jika malahan pada penggal pertama mereka, kerajaan negeri Pakatan sudah mempunyai sikap tidak peduli terhadap pembangunan dan bantahan penduduk, bayangkan apa yang bakal terjadi kepada penduduk Pulau Pinang pada penggal kedua nanti?" katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain