suria

Jurujual Tiket Penerbangan Didakwa Pecah Amanah Lebih RM11,000

KUALA LUMPUR: Seorang jurujual tiket penerbangan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini terhadap pertuduhan pecah amanah membabitkan lebih RM11,000.

Nurhairunisa Abd Bakar, 23, didakwa melakukan pecah amanah terhadap wang hasil jualan tiket milik syarikat Yemen Airways di syarikat itu di tingkat 30, UOA Centre, Jalan Pinang di sini, antara Mac hingga April lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 14 tahun serta sebatan, dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Majistret Parvin Hameedah Natchiar membenarkan Nurhairunisa diikat jamin RM4,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Jun untuk sebutan kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Tan Sew Ping manakala tertuduh diwakili peguam Mohammad Arifin Abdul Wahab. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain