suria

Dua Pengawai Polis Johor Ambil Keterangan Mohammad Nizar Hari Ini

IPOH: Dua pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Baharu Utara pada Rabu mengambil keterangan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berhubung kenyataannya menerusi Twitter mengenai bidaan nombor pendaftaran kenderaan WWW 1 oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim.

Ketua Siasatan Jenayah IPD berkenaan DSP Sanawi Muhamad yang mengetuai siasatan itu bersama DSP Sukiman Arshad tiba di Pejabat PAS negeri di sini, pada pukul 2 petang dan mengambil masa sejam untuk merakam keterangan Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Pasir Panjang tersebut.

Mohammad Nizar yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri ketika ditemui pemberita selepas itu, berkata beliau menjawab semua 28 soalan yang diaju pegawai berkenaan.

"Dia (polis) dah siasat, keterangan pun sudah diambil jadi saya serahkan kepada polis untuk siasat," katanya.

Pada Isnin lepas, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dilapor berkata polis Johor telah menerima 39 laporan polis mengenai kenyataan Mohammad Nizar.

Mohammad Nizar sebelum ini dilapor mengeluarkan kenyataan menerusi laman Twitter mempersoalkan bidaan nombor pendaftaran kenderaan WWW 1 yang dimenangi Sultan Johor dengan kos RM520,000.

Kes itu dilapor disiasat mengikut Akta Hasutan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain