suria

Bengkel Kereta, Dua Rumah Papan Musnah Dalam Kebakaran

KUALA LUMPUR: Sebuah bengkel membaiki kereta dan dua rumah papan di Jalan Usahawan, Setapak, di sini, hangus dalam kebakaran awal pagi tadi menyebabkan 19 penghuninya hilang tempat tinggal.

Kejadian itu turut menyebabkan 27 buah kereta, yang sedang dibaiki, musnah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Setapak, Suki Annuar, berkata empat jentera bomba dari Balai Bomba Setapak, Balai Jelatek, Balai Bomba Chow Kit dan Balai Bomba Hang Tuah dengan 26 anggota bergegas ke tempat kejadian selepas menerima pangilan pada 6.22 pagi.

"Api yang marak dapat dipadamkan dalam masa setengah jam. Tiada kemalangan jiwa dan kami sedang menyiasat punca kebakaran serta nilai kerugian," katanya ketika ditemui di tempat kejadian pada Rabu.

Ketika kejadian, katanya, dua penghuni berada di dalam rumah papan itu yang terletak dalam kawasan bengkel itu, yang dipercayai beroperasi sejak 40 tahun lepas. Sementara itu, penjaga bengkel berkenaan, Abdul Jalil Abdullah, 38, berkata beliau sedang tidur di dalam sebuah kereta di tepi bengkel itu sebelum menyedari kebakaran itu.

Menurutnya beliau terpaksa tidur di dalam kereta kerana bekalan elektrik ke rumah, yang didiaminya bersama keluarganya dan keluarga abangnya, dipotong sejak sebulan lepas.

Beliau berkata rumah itu, yang dibahagi kepada tiga bilik, turut didiami seorang lelaki warga Myanmar dan seorang wanita warga emas manakala rumah kedua dihuni oleh dua lelaki Myanmar.

Abdul Jalil, yang berasal dari Setapak, berkata keluarganya menetap di rumah itu sejak 13 tahun lepas.

Semasa kejadian, keluarganya dan keluarga abangnya tiada di rumah kecuali lelaki Myanmar dan warga emas berkenaan.

Abdul Jalil berkata kedua-dua penghuni itu dapat menyelamatkan diri tetapi mereka mengesyaki kebakaran berpunca dari bahagian tengah rumah itu. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain