suria

Remaja Vietnam Bawah Umur Antara Lapan Pelacur Yang Dicekup

PETALING JAYA: Remaja warga Vietnam yang berusia 15 tahun adalah antara lapan wanita warga asing yang ditahan polis kerana menjadi pelacur, dalam serbuan di sebuah bar di Dataran Prima, Kelana Jaya di sini, Isnin.

Pegawai Turus Polis Bahagian Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Selangor, DSP Rohan Shah Ahmad berkata hanya remaja itu di bawah umur 18 tahun manakala tujuh lagi berumur 19 hingga 25 tahun.

Tujuh yang lain adalah empat wanita warga Vietnam, dua Indonesia dan seorang warga Thailand.

"Kelab bar itu menawarkan perkhidmatan pelacuran RM150 untuk sekali perkhidmatan dengan sebuah bilik khas disediakan di tingkat atas bar berkenaan. Pelanggan diberikan harga diskaun untuk melanggan pelacur jika mereka turut memesan minuman keras," katanya kepada pemberita selepas operasi selama dua jam mulai pukul 6.30 petang Isnin.

Rohan Shah berkata polis menempatkan remaja wanita bawah umur itu di bawah perlindungan mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 manakala selebihnya ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana menyalahi pas lawatan sosial serta tiada dokumen perjalanan yang sah.

"Polis turut menahan seorang lelaki warga asing yang merupakan penjaga wanita berkenaan serta lima lelaki tempatan yang merupakan pelanggan bagi proses dokumentasi," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain