suria

PAS Anggap Penganjuran Bersih 3.0 Tidak Langgar Syariat Islam

PETALING JAYA: Majlis Syura Ulama PAS akhirnya mengeluarkan kenyataan sokongan terhadap penganjuran Bersih 3.0 serta memutuskan bahawa demonstrasi berkenaan tidak bercanggah dengan syariat Islam.

Malah badan tertinggi PAS itu menyatakan bahawa perhimpunan jalanan bagi menuntut reformasi pilihan raya di negara ini sebagai wajib bagi menyekat tindakan Barisan Nasional (BN) dan Umno yang didakwa membahayakan keselamatan negara.

Kenyataan itu sekali gus menolak pandangan Majlis Fatwa Kebangsaan yang memutuskan haram untuk umat Islam menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang bertujuan tidak baik, melanggar undang-undang serta mencetuskan huru-hara dan kekacauan dalam negara.

"Ia amat selari dengan syariat bagi menegakkan amar makruf dan nahi mungkar, bahkan ianya menjadi wajib apabila tiada cara lain yang lebih berkesan bagi menyekat kemungkaran dan tindakan Umno dan BN.

"Demonstrasi adalah salah satu cara makluman kepada awam mengenai ketidakpuasan hati terhadap sesuatu kezaliman, penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan lain-lain setelah cara lisan tidak diendahkan oleh pihak berkuasa.

"Dalam konteks Malaysia hari ini demonstrasi 'duduk dan bantah' adalah salah satu cara terbaik menjatuhkan kezaliman khususnya sebagaimana yang telah berlaku di Mesir," kata Majlis Syura Ulama PAS yang dipengerusikan Mursyidulnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sebelum ini Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof Tan Sri Dr Abd Shukor Hussin dilaporkan berkata majlis itu memandang serius tindakan sebahagian masyarakat khususnya umat Islam yang bertindak sebagai perusuh jalanan seperti dalam Bersih 3.0 yang menyebabkan kerosakan, kemudaratan, pergaduhan dan kacau bilau.

Sehubungan itu, katanya, mereka yang terbabit dalam demonstrasi sedemikian, khususnya umat Islam, perlu sedar dan insaf bahawa tindakan mereka itu bercanggah dengan ajaran Islam.

Mengulas lanjut Majlis Syura Ulama PAS menegaskan bahawa demonstrasi Bersih 3.0 mempunyai tujuan yang sangat penting demi kepentingan rakyat dan negara.

"Apa yang lebih penting, demonstrasi bersih mempunyai tujuan yang sangat penting. Hari ini terlalu banyak bantahan yang dibuat terhadap daftar pengundi rakyat asing yang hanya dipandang sepi oleh pihak kerajaan yang dikawal sepenuhnya oleh Umno dan BN.

"Isu ini boleh melibatkan isu keselamatan negara yang sepatutnya diambil berat oleh Parti Pemerintah dan kerajaan itu sendiri," katanya.

Sementara itu mengulas mengenai penglibatan PAS bersama gerakan Bersih 3.0 yang diketuai oleh Datuk S. Ambiga iaitu seorang yang bukan beragama Islam, Majlis Syura Ulama berpendapat penyertaan parti itu dibuat atas dasar menentang penyelewengan.

"Perlu difahami bahawa Bersih bukan bermakna semua parti dan golongan yang menyertainya akan menerima dasar parti dan badan-badan bukan kerajaan yang menyertainya.

"PAS hanya menyertai gerakan Bersih bersama-sama dengan parti dan NGO lain atas dasar menentang penyelewengan dan tindakan kerajaan melalui SPR dan pihak JPN yang dianggap boleh membahayakan masa depan negara.

"Ia bukan mempunyai perjanjian untuk menerima dasar-dasar yang bercanggah dengan Islam untuk diamalkan di dalam PAS," katanya kenyataan itu lagi.

Artikel Lain