suria

Ongkili Sambut Baik Penubuhan RCI Di Sabah

KUALA LUMPUR: Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Maximus Ongkili berkata beliau menyambut baik penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat masalah pendatang asing termasuk tuduhan pembangkang yang mendakwa pendatang asing diberikan kerakyatan dan didaftar sebagai pemilih.

Ongkili, yang juga Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), berkata beliau gembira dengan penubuhan suruhanjaya diraja itu yang dibangkitkan sejak 1999 lagi apabila PBS masih lagi merupakan parti pembangkang sebelum menyertai Barisan Nasional sebagai parti komponen pada 2002.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pesta Kaamatan dan Gawai Dayak 2012 Kolej Universiti Metropolitan Asean di sini, malam Isnin.

Penubuhan suruhanjaya siasatan diraja itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat lepas bagi menangani masalah berkaitan pendatang asing tanpa izin di Sabah.

Mengenai cadangan projek kad pengenalan akan dimasukkan dalam terma dan rujukan suruhanjaya berkenaan, Ongkili berkata Jabatan Peguam Negara bertanggungjawab untuk mempertimbangkannya.

Dalam perkembangan lain, Ongkili berkata beliau akan mengemukakan cadangan kepada Kementerian Pengajian Tinggi untuk menaikkan kadar pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi membolehkan lebih ramai pelajar dari Sabah dan Sarawak melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.

"Sebab sekarang ini kita memerlukan minimum RM2,500 bagi membiayai tiket kapal terbang dan yuran pendaftaran sahaja. Mungkin boleh rujuk kembali jumlah pinjaman yang layak diterima," katanya.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Masterskill Education Group Berhad Datuk Seri Dr Edmund Santhara dalam ucapannya memohon supaya pinjaman pendidikan itu dikaji semula kerana pelajar dari Sabah dan Sarawak memerlukan lebih banyak peruntukan untuk membiayai pengajian mereka ke Semenanjung. -BERNAMA

Artikel Lain