suria

MCA Terus Berkhidmat Untuk Rakyat - Dr Chua

KUALA LUMPUR: MCA terus komited untuk berkhidmat kepada rakyat dan tidak akan terpengaruh dengan sebarang hasil kajian, kata Presidennya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

"MCA akan terus bekerja. Kami tidak terpengaruh dengan statistik kajian yang mana jika angka merosot kami patut tutup kedai (berhenti bekerja) dan jika meningkat kami pergi ke Genting (Highlands) untuk meraikannya," katanya kepada pemberita, di sini, Selasa.

Beliau yang ditemui selepas menyampaikan sumbangan Yayasan Perubatan 1MCA kepada 17 penerima, diminta mengulas mengenai kajian Merdeka Centre baru-baru ini yang menunjukkan sokongan komuniti Cina kepada Barisan Nasional telah merudum susulan perhimpunan di ibu kota pada 28 April lepas.

Pada masa yang sama, Dr Chua menegaskan MCA tidak akan mengambil mudah undi yang diterima atau mengamal sikap berkawan ketika senang sahaja.

"Senang atau susah, yang pasti kami tidak akan bersikap seperti DAP yang menganggap semua orang Cina tidak ada pilihan selain mengundi DAP. Itu sikap DAP," katanya.

Sama ada hasil kajian seperti Merdeka Centre itu akan menyukarkan lagi tugas MCA, Dr Chua berkata mereka tidak akan dapat berfungsi jika hanya bergantung kepada hasil kajian. - BERNAMA

Artikel Lain