suria

Duda Maut Selepas Motosikal Terbabas

KUANTAN: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas merempuh bongkah konkrit di Km 60 Jalan Jerantut-Kuala Tahan di Jerantut, malam Isnin.

Azrai Mat Yunus, 32, yang tinggal di Kuarters Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Jerantut Supt Azid Ismail berkata kejadian berlaku pukul 10 malam ketika mangsa dalam perjalanan dari rumah rakannya di Kuala Tahan menghala ke bandar ini untuk minum bersama rakan lain.

Mangsa dipercayai gagal mengawal motosikalnya ketika melalui selekoh tajam dan terbabas ke kanan jalan sebelum terjatuh dan melanggar bongkah konkrit di situ, katanya kepada Bernama, di sini, Selasa.

Katanya siasatan awal mendapati mangsa menunggang dengan laju ketika kejadian dan polis menolak pembabitan kenderaan lain dalam kejadian tersebut. - BERNAMA

Artikel Lain