suria

Skandal Kewangan: Dr Mahathir Tak Takut Apa - Apa

CYBERJAYA: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak gentar dengan dakwaan Penasihat DAP Lim Kit Siang untuk mendedahkan apa yang dikatakan skandal kewangan sepanjang 22 tahun pemerintahannya.

Dr Mahathir berkata Lim boleh berbuat apa sahaja sekarang juga untuk membuktikan berlakunya skandal kewangan sepanjang pemerintahan beliau.

"Dia (Lim) boleh buka apa-apa fail, sekarang pun tak apa. Nak bawa saya pergi ke mahkamah pun boleh. Saya tak takut apa-apa pun," katanya ketika merasmikan KRU Academy di sini, Isnin.

Pada Ahad, Lim yang juga Anggota Parlimen Ipoh Timur, mendakwa bahawa Dr Mahathir khuatir kebenaran skandal kewangan yang berlaku ketika pemerintahan beliau akan terdedah jika pakatan pembangkang memerintah negara.

Apabila ditanya mengenai 'Himpunan Hijau ke Putrajaya' anjuran PAS yang menarik 50,000 penyokong, Dr Mahathir menyifatkannya sebagai 'perhimpunan besar-besaran kerana diupah' dan tidak menjanjikan bahawa pakatan pembangkang bakal menang dalam pilihan raya akan datang.

"Saya biasa mendapat kurang daripada 100 orang yang datang untuk mendengar ucapan saya namun saya berjaya memenangi pilihan raya.

"Jika anda mengupah orang supaya datang, mereka akan datang. Ini adalah perhimpunan besar-besaran kerana diupah.

"Anda tengoklah nanti semasa pilihan raya kalau jumlah 50,000 itu dapat diterjemah kepada sokongan dan menghantar mereka (pakatan pembangkang) ke Putrajaya," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain