suria

Program 6P Peruntuk Kuota 10,000 Pengawal Keselamatan Nepal Gurkha

PETALING JAYA: Program 6P memperuntukkan kuota seramai 10,000 warga nepal daripada etnik Gurkha untuk diambil bekerja sebagai pengawal keselamatan di negara ini.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Alias Ahmad berkata, hanya pengawal keselamatan tempatan dan nepal berbangsa gurkha sahaja yang dibenarkan untuk diambil bekerja.

"Pada masa ini, kira-kira 150,000 rakyat tempatan manakala kira-kira 5,000 warga Nepal daripada etnik Gurkha berkhidmat sebagai pengawal keselamatan secara sah di negara ini.

"Kuota 10,000 pengawal keselamatan itu diperuntukkan dalam Program 6P menerusi sub-sektor sekuriti keselamatan," katanya kepada mStar Online.

Alias berkata, di bawah Program 6P, kira-kira 300 syarikat kawalan keselamatan telah membuat permohonan untuk mendapatkan khidmat di kalangan warga Nepal Gurkha.

Alias menegaskan bahawa adalah menjadi satu kesalahan sekiranya mana-mana syarikat menggaji pengawal keselamatan yang bukan rakyat Malaysia dan warga Nepal bukan daripada etnik Gurkha.

"Warga Nepal yang bukan di kalangan Gurkha juga tidak dibenarkan menjadi pengawal keselamatan di negara ini.

"Tujuan kita mengambil mereka (Nepal Gurkha) adalah kerana mereka merupakan bekas tentera British yang mempunyai pengalaman dalam menjaga keselamatan," katanya.

Menurut Alias, berdasarkan pemeriksaan dalam operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen, segelintir warga asing lain dikesan menjadi pengawal keselamatan.

"Kebanyakan mereka adalah warga Indonesia dan Myanmar termasuk warga Nepal yang bukan Gurkha," katanya.

Beliau menambah, mereka yang didapati bersalah akan dikenakan tindakan di bawah Akta Imigresen kerana menyalahgunakan dokumen perjalanan atau permit kerja.

"Agensi atau syarikat kawalan keselamatan yang mengambil khidmat mereka juga akan dikenakan tindakan, sama ada menggantungkan atau membatalkan lesen sekuriti mereka," kata Alias.

Artikel Sebelum

Artikel Lain