Polis Tahan Dua Lelaki Ragut Rantai Warga Emas Bernilai RM2,000 - Semasa | mStar

Polis Tahan Dua Lelaki Ragut Rantai Warga Emas Bernilai RM2,000

MELAKA: Polis menahan dua lelaki yang dipercayai meragut rantai leher bernilai RM2,000 milik seorang warga emas di hadapan rumah mangsa di Kampung Gubah, Nyalas Jasin di sini, Sabtu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Jasin DSP Shahidi Abdullah berkata kedua-dua lelaki berusia 30-an itu ditahan di dua daerah berasingan di Melaka kira-kira lima jam selepas kejadian dilaporkan di Balai Polis Nyalas pada 10.15 pagi Sabtu.

Beliau berkata dalam kejadian pada 9.30 pagi itu, wanita tersebut didatangi kedua-dua lelaki terbabit kononnya untuk menyerahkan sepucuk surat kepada mangsa.

"Mangsa mendekati kedua-dua suspek untuk mengambil surat namun pada masa sama rantainya diragut sebelum mereka melarikan diri dengan sebuah kereta berwarna putih," katanya kepada pemberita di sini.

Shahidi berkata suspek pertama berjaya ditahan di sempadan antara Air Kuning, Gemencheh dan Jasin bersama sebuah kereta yang dipercayai digunakan ketika kejadian sebelum siasatan ke atas lelaki berkenaan membawa kepada tangkapan kedua.

Katanya siasatan awal mendapati kedua-dua mereka mempunyai rekod lampau membabitkan kes jenayah dan dadah. - BERNAMA

Artikel Berkaitan

Artikel Lain