suria

Polis Rampas Dua Pistol Dan Satu Bom Tangan Daripada Dua Lelaki

KUALA LUMPUR: Polis merampas dua pucuk pistol jenis Tanfoglio 9mm buatan Itali dan Taurus 9mm serta sebiji bom tangan asli daripada dua lelaki dalam kes berasingan Sabtu lepas dan Isnin.

Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Mohan Singh berkata pistol jenis Taurus dan bom tangan dirampas daripada seorang lelaki berumur 37 tahun yang ditemui terbaring dan dalam keadaan separuh sedar di tepi jalan raya di Taman Permata, Cheras kira-kira pukul 6 pagi.

Mohan berkata turut ditemui dalam pistol tersebut adalah enam butir peluru manakala bom tangan itu ditemui tersorok 20 meter dari tempat suspek terbaring sejam kemudian.

"Mula-mula kita jumpa suspek terbaring bersama pistol, sebilah pisau panjang, pisau lipat serta sebuah motosikal yang kemungkinan digunakan untuk menyamun.

"Namun kira-kira sejam kemudian kita menjumpai bom tangan tersebut," katanya kepada pemberita di sini.

Mohan berkata, polis akan menyiasat bom tangan itu buatan dari negara mana sesudah bom tersebut diletupkan.

"Kita juga akan menyiasat untuk apa beliau menyimpan bom dan pistol tersebut dan buat masa ini kita masih belum mendapat maklumat lengkap memandangkan lelaki itu masih dalam keadaan separuh sedar," katanya sambil menambah kemungkinan lelaki itu dilanggar atau terjatuh sendiri kerana beliau positif dadah dan alkohol.

Mohan berkata, bagi kes kedua sepucuk pistol jenis 'Tanfoglio', polis merampas pistol milik seorang pengawal peribadi berumur 37 tahun, kerana dipercayai disalahgunakan.

Dalam kejadian Sabtu lepas di sebuah kelab malam di Jalan Metro, Pudu kira-kira pukul 10 malam, suspek bersama beberapa rakannya dikatakan bergaduh dengan sebuah kumpulan lain menyebabkan seorang cedera di kepala kerana dihentak dengan pistol tersebut.

"Semasa hendak melarikan diri, suspek telah melepaskan dua das tembakan tetapi tidak mengenai sesiapa," katanya sambil menambah terdapat 10 butir peluru dalam pistol tersebut.

Suspek bersama seorang rakannya kemudian membuat laporan polis keesokan harinya dan mendakwa terpaksa melepaskan tembakan kerana hendak melindungi majikannya, kata Mohan. Beliau berkata siasatan mendapati suspek mempunyai lesen 'Carry and Use' (C & U) yang mana membolehkan suspek menyimpan senjata api namun tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya.

Kedua-dua mereka kini ditahan reman sehingga Rabu ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain