suria

Murid Tahun Satu Terbunuh Selepas Kereta Bapa Rempuh Pokok

KUANTAN: Seorang kanak-kanak lelaki terbunuh manakala bapa dan adik lelakinya berusia setahun cedera selepas kereta yang mereka naiki terbabas sebelum merempuh pokok palma di Jalan Teluk Sisek, Teluk Cempedak di sini, Ahad.

Murid tahun satu, Muhammad Ridzwan Idris, 7, dari Taman Mutiara, Jalan Alor Akar di sini meninggal dunia sejam selepas kejadian akibat cedera parah di dada.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata dalam kejadian pukul 12.30 tengah hari, tiga beranak itu dalam perjalanan dari arah bandar Kuantan menuju ke Teluk Cempedak.

Katanya setiba di lokasi kejadian, kereta yang dipandu bapa mangsa yang berusia 42 tahun dan bekerja sebagai buruh kontrak itu dipercayai hilang kawalan lalu bergesel dengan sebuah kenderaan yang datang dari arah bertentangan.

"Akibatnya, kereta yang dinaiki mangsa terbabas ke kiri jalan sebelum merempuh dua batang pokok palma di situ," katanya di sini, Isnin.

Beliau berkata tiga beranak terbabit dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini untuk rawatan lanjut dan mangsa disahkan meninggal dunia sejam kemudian ketika menerima rawatan manakala bapa dan adiknya hanya cedera ringan.

Sementara itu, Mohamed Fauzi berkata pada hari yang sama, seorang warga emas, Abu Bakar Mahmud, 74, maut selepas motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah bas ekspres ketika keluar dari sebuah simpang di Kilometer 121 Jalan Kuantan-Johor Baharu, dekat Rompin. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain