suria

MB Selangor Tak Jawab Isu Air - Mohd Zin

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor sepatutnya menjawab segala persoalan yang dibangkitkan kepadanya berhubung isu krisis air di negeri itu dan bukannya mempolitikkan isu berkenaan kerana ia melibatkan kepentingan rakyat.

Koordinator Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed berkata, isu tersebut sebaliknya telah sengaja dipolitikkan demi kepentingan politik sempit kerajaan Pakatan Rakyat.

“Segala fakta yang saya utarakan sebelum ini tidak dijawab dengan konkrit oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim malah beliau dengan angkuh menyangkal segala dakwaan saya.

“Malah beliau mengemukakan fakta-fakta yang mengelirukan demi tujuan politik semata-mata. Sedangkan kepentingan rakyat Selangor yang memerlukan air bersih dan terawat tidak langsung ditangani dengan baik,” katanya pada sidang media di Bangunan Umno Selangor pada Isnin.

Mohd Zin sekali lagi menegaskan bahawa krisis air di negeri itu akan tetap berlaku pada tahun 2014 atau lebih awal daripada itu sekiranya kerajaan negeri masih berdegil dan tidak segera menangani masalah kekurangan bekalan air bersih di negeri itu.

Menurutnya, krisis air pasti akan berlaku berdasarkan kajian dan unjuran yang dijalankan oleh pakar air yang berwibawa dan diiktiraf.

“Masalah kekurangan bekalan air mula timbul selepas Pakatan Rakyat mengambil alih negeri Selangor. Kerajaan negeri telah membekukan perbelanjaan modal (Capex) syarikat konsesi akibatnya mereka tidak berupaya meneruskan kerja-kerja penggantian paip yang telah lama dan rosak. Sekali gus menyumbang kepada peningkatan bekalan non-revenue water (NRW) di negeri itu.

“Agak menghairankan apabila kerajaan negeri sengaja membekukan Capex namun pada masa yang sama menuduh syarikat konsesi tidak melaksanakan kerja-kerja untuk menurunkan peratus NRW,” katanya.

Mohd Zin berkata, sikap kerajaan negeri menunding jari kepada syarikat konsesi adalah tidak masuk akal kerana mereka sendiri yang membekukan Capex.

“Sepatutnya kerajaan negeri melalui Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) dan Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) yang memegang 30 peratus saham dalam syarikat konsesi tersebut boleh menyelesaikan masalah Capex namun yang menghairankan mereka menunding jari menyalahkan syarikat konsesi terbabit.

“Tanpa sebarang pelan bersepadu untuk membekalkan air bersih kepada rakyat Selangor, apa yang dilaung-laungkan oleh kerajaan negeri hanyalah kata-kata politik semata-mata,” katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Umno Selangor menegaskan dengan kepentingan saham yang dimiliki oleh kerajaan negeri dalam syarikat konsesi terbabit mereka tidak wajar mengambil sikap lepas tangan dengan mengatakan mereka tidak mempunyai kuasa berbuat demikian.

“Kerajaan negeri mempunyai saham di loji-loji rawatan air yang diuruskan oleh syarikat-syarikat konsesi ini. Jadi sikap lepas tangan kerajaan negeri begitu memalukan sekali,” katanya.

Mohd Zin mendakwa, pemberian air percuma oleh kerajaan negeri tidak menyeluruh dan masih ramai lagi rakyat yang tidak mampu membayar harga tarif air yang tinggi kerana penggunaan meter secara pukal.

“Kualiti air juga rendah, kerana mereka tidak memantau tindakan kilang-kilang yang membuang sisa buangan terus ke dalam sungai tanpa dirawat terlebih dahulu. Akhirnya punca NRW adalah disebabkan oleh sikap kerajaan negeri yang membekukan Capex syarikat konsesi.

"Pembekuan ini menyebabkan syarikat konsesi tidak dapat menukar paip-paip lama yang telah berkarat sekaligus menjejaskan kualiti bekalan air,” katanya.

Jelas Mohd Zin lagi, BN berjanji akan menyelesaikan isu air ini sekiranya mereka kembali memerintah Selangor selepas pilihan raya umum ke-13 (PRU13) nanti.

“Memang negara kita mempunyai bekalan air hujan yang cukup namun bekalan air terawat memerlukan loji dan teknologi rawatan yang sistematik. Namun sikap kerajaan negeri yang sanggup membekukan projek Langat 2 amatlah dikesalkan. Sehingga kini tiada alasan yang diberikan mereka...sekadar ingin menunjukkan kuasa yang tidak menguntungkan sesiapa,” katanya.

Pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 tertangguh dan mengalami kelewatan kerana kerajaan negeri Selangor masih tidak memberi kerjasama bagi menyelesaikan isu berkenaan.

Sebelum ini, Kerajaan Selangor mengulangi pendiriannya hanya akan memberikan persetujuan kepada projek pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 setelah penstrukturan semula industri air di negeri itu diselesaikan.

Malah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Negeri, Dr Xavier Jayakumar berkata, penstrukturan itu akan membolehkan kerajaan Selangor mengurus kadar tarif air dengan lebih rendah berbanding kenaikan sehingga 37 peratus yang dicadangkan syarikat konsesi air terlibat.

Artikel Sebelum

Artikel Lain