suria

Kenyataan Fitnah: Pengasas Butik Kecantikan Saman Peguam Syarie RM10 Juta

KUALA LUMPUR: Seorang pengasas butik kecantikan, pada Isnin memfailkan saman fitnah berjumlah RM10 juta terhadap seorang peguam syarie dan firma guaman yang didakwa mengeluarkan kenyataan memburukkan dirinya kepada media.

Plaintif, Sri Wani Choo Abdullah, memfailkan writ saman itu menerusi Tetuan Boestamam Ahmad & Co di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.

Beliau menamakan Muhammad Hafiz Abdul Rashid dan Tetuan Irsamuddin Hafiz & Associates sebagai defendan.

Dalam penyataan tuntutannya, Sri Wani mendakwa Muhammad Hafiz memberi kenyataan fitnah pada 5 April lepas kepada media dan ia disebar secara meluas melalui akhbar tempatan seperti Berita Harian, Utusan Malaysia, Kosmo dan The Star pada hari berikutnya.

Sri Wani mendakwa peguam itu turut mengeluarkan kenyataan di laman Youtube bertajuk 'Isteriku lelaki' yang didakwa memalukan dirinya, walhal beliau sedang berdepan perbicaraan di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur berkaitan isu jantina dan kes tersebut dijalankan secara tertutup.

Sri Wani mendakwa sebagai peguam syarie, Muhammad Hafiz sepatutnya bertindak profesional dan mematuhi etika kerana menjadi satu larangan di bawah Arahan Amalan No.4 2002, untuk memberi kenyataan kepada media tentang kes yang masih dalam perbicaraan, apatah lagi ia dijalankan secara tertutup, yang akan memalukan plaintif dan anak guam defendan sendiri iaitu suami Sri Wani, Bahrom Sanugi.

Plaintif yang hadir bersama peguamnya, Ahmad Izuddin Fakhrullah ketika memfailkan saman ini, turut mendakwa berikutan kenyataan fitnah tersebut, perniagaannya mengalami kerugian lebih RM20,000 sebulan.

Selain menuntut RM10 juta sebagai ganti rugi teruk, Sri Wani turut memohon ganti rugi teladan, satu injuksi bagi menghalang defendan menerbitkan artikel dan video berkaitan dirinya, kos serta relif lain.

Ditanya tentang penyerahan writ saman kepada defendan, Ahmad Izuddin berkata ia dilakukan dalam tempoh beberapa hari lagi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain