suria

Empat Warga Taiwan Terlepas Hukuman Mati

JOHOR BAHRU: Empat lelaki rakyat Taiwan terlepas daripada hukuman mati selepas Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan mereka daripada tuduhan mengedar dadah jenis nimetazepam seberat 43.033 gram pada 2009.

Pesuruhjaya Kehakiman, M. Gunalan membuat keputusan itu selepas berpuas hati dengan kesemua tertuduh, Chung Sheng Wen, 39, Chang Yen Min, 38, Chang Yun Sheng, 34, dan Wu Sheng Yuan, 34, yang berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kilang di nombor 12, Jalan Angkasa Emas 6, Kawasan Perindustrian Tebrau 2, di sini, 5.30 pagi, 22 Mac 2009.

Mereka ditangkap oleh sepasukan polis yang membuat serbuan di kilang itu yang menjumpai dan merampas sejumlah perkakas, peralatan, kimia dan mesin yang dipercayai digunakan untuk menghasilkan dadah.

Dadah dalam bentuk pil juga dijumpai di kilang tersebut.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Gunalan dalam penghakimannya berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie dan gagal membuktikan penglibatan tertuduh dalam kes berkenaan.

"Pihak pendakwaan gagal membuktikan bahawa tertuduh terlibat dengan kegiatan memproses dadah berkenaan.

"Mereka juga gagal membuktikan penglibatan tertuduh secara langsung dalam memiliki peralatan dan bahan bukti yang dirampas daripada premis berkenaan. Oleh itu, kesemua tertuduh dibebaskan daripada pertuduhan," katanya.

Sebelum itu, Mahkamah Tinggi Johor Baharu membebaskan keempat-empat tertuduh tanpa dipanggil membela diri pada 27 Disember 2010.

Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan tersebut pada 29 November 2011 dan memerintahkan mereka membela diri bermula 2 Disember 2011.

Pendakwaan dilakukan Ketua Unit Pendakwaan Johor, Umar Saifuddin Jaafar manakala kesemua tertuduh diwakili G.K. Sritharan dan Datuk Naran Singh. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain