suria

Ayah Petinju Negara Yang Dibelasah Meninggal Dunia

JOHOR BAHARU: Petinju negara, Muhamad Farkhan Mohd Haron yang sedang menjalani pemulihan selepas dibelasah sekumpulan lelaki 6 Mei lalu menerima tamparan hebat apabila bapanya, Mohd Haron Ismail, meninggal dunia, Ahad.

Petinju berusia 24 tahun itu kini hilang semangat apatah lagi bapanya yang merupakan timbalan presiden Persatuan Tinju Amatur Malaysia adalah sumber inspirasi dan pendorongnya dalam arena sukan tinju negara.

Mohd Haron, 50, disahkan meninggal dunia di rumahnya di Taman Kobena di sini pada 7.15 malam akibat sakit jantung dan meninggalkan seorang balu dan empat orang anak.

Muhamad Farkhan berkata bapanya yang memang menghidap sakit jantung, sebelum itu mengadu sakit dada dan seluruh anggota badan serta mengalami kesukaran untuk bernafas.

"Selepas mengadu sakit-sakit badan, ayah terus tidak sedarkan diri dan apabila pegawai perubatan datang ke rumah untuk membuat pemeriksaan mengesahkan ayah sudah tiada.

"Hanya Tuhan yang tahu perasaan saya waktu itu. Ibarat semangat saya terbang entah ke mana. Namun saya redha dengan ujian Allah dan akan sentiasa ingat pesan ayah sebelum dia meninggalkan kami," katanya kepada pemberita di sini.

Muhamad Farkhan yang pernah menghadiahkan pingat emas kepada Malaysia pada Sukan SEA Laos 2009 berkata, empat hari sebelum kejadian, ayahnya pernah memberitahu mereka sekeluarga bahawa beliau bermimpi arwah datuknya datang memakai pakaian ihram. Menurut Farkhan, ketika itu dia tidak mengesan sebarang perubahan dalam tingkah laku ayahnya.

"Dia ada pesan supaya saya jaga emak dan adik-beradik yang lain, jadi ketua keluarga yang baik," katanya sebak.

Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Kebun Teh, sebelum solat Zohor, Isnin.

Lebih 100 ahli keluarga dan rakan-rakan menghadiri upacara pengkebumian itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain