suria

26 Pati Ditahan Cuba Masuk Sabah Melalui Semporna

TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tawau menahan 26 pendatang asing tanpa izin (Pati) yang dipercayai cuba memasuki Sabah melalui perairan Semporna malam Ahad.

Ketua Penguatkuasa APMM Tawau, Kapten Wan Mohd Affandi Wan Ahmad dalam satu kenyataan berkata penahanan dibuat hasil maklumat pegawai Taman-Taman Sabah yang melakukan rondaan di kawasan Pulau Bohey Dulang.

"Pegawai Taman-Taman Sabah, ketika membuat rondaan pada jam 8.30 malam telah mengejar sebuah bot panjang selepas mengesyaki mereka cuba membawa keluar kayu dari Pulau Bohey Dulang.

"Bot panjang berkenaan kemudiannya terkandas di kawasan cetek kira-kira satu batu nautika dari Pulau Sipadan dan pegawai Taman-Taman Sabah menghubungi APMM untuk memohon bantuan.

"Ketika kapal APMM tiba di tempat kejadian, bot panjang berkenaan masih terkandas dan hasil pemeriksaan ke atas bot itu mendapati kesemua penumpangnya yang terdiri daripada 20 lelaki, empat wanita dan dua kanak-kanak yang kesemuanya berusia antara 6 hingga 62 tahun, datang dari Bongao, selatan Filipina," katanya.

Wan Mohd Affandi juga berkata ketika mereka di bawa ke darat, salah seorang daripada mereka cuba melarikan diri dengan terjun ke laut namun berjaya diberkas semula dan kesemua mereka di bawa ke pejabat APMM Tawau untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain