suria

Usaha Berterusan Untuk Pertingkat Kesedaran Pengguna - Ismail Sabri

SEMENYIH: Pelbagai program dan aktiviti kepenggunaan melibatkan semua lapisan umur dan masyarakat akan diteruskan bagi memastikan pengguna tidak mudah tertipu, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata kesedaran pengguna di negara ini masih rendah kerana kurang memahami hak dan tanggungjawab mereka.

"Apabila berlaku penipuan atau rasa tidak puas hati, pengguna selalunya menyalahkan kerajaan... Tidak seperti banyak negara lain, kerajaan Malaysia mewujudkan beberapa akta dan undang-undang bagi melindungi dan menjaga kepentingan pengguna," katanya ketika menutup Sambutan Bulan Penggguna Kebangsaan 2012 di pekarangan Tesco di sini.

Ismail Sabri berkata Tribunal Pengguna, yang wujud sejak 1999, banyak membantu menjaga hak dan kepentingan golongan itu.

Beliau berkata sejumlah 2,258 Kelab Pengguna Sekolah serta 134 Gerakan Pengguna Siswa diwujudkan bagi memupuk kesedaran berhubung perkara ini, dan bilangan itu akan terus ditambah.

Dalam pada itu, Ismail Sabri mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati sebelum melibatkan diri dengan mana-mana skim pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat. - BERNAMA

Artikel Lain