suria

Tidak Logik Bagi SWP Mengaku Rakan BN Apabila Bertanding Menentang Parti Komponen BN - PM

JULAU: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Ahad berkata adalah tidak logik dan rasional bagi parti pembangkang baru Sarawak, Parti Pekerja Sarawak (SWP) untuk mengaku bahawa ia adalah rakan Barisan Nasional (BN) tetapi mahu bertanding di kesemua enam kerusi milik Parti Rakyat Sarawak (PRS), sebuah parti komponen BN negeri.

"SWP tidak boleh mendakwa rakan BN apabila ia mahu bertanding menentang BN. Tindakan sedemikian jelas tidak konsisten.

"Jika ia benar-benar rakan BN apa salahnya menyokong semua calon BN. Ini merupakan isu pokok," katanya kepada pemberita selepas menghadiri rumah terbuka sambutan Gawai Dayak PRS di Rh.Jana anak Saweng, rumah panjang Iban 77 pintu di Batu Matop dekat sini.

Najib yang juga Pengerusi BN berkata malah jika SWP memenangi sebarang kerusi dalam pilihan raya akan datang, ia tidak akan dipelawa menyertai BN.

"Tidak timbul persoalan menyertai BN. Paling penting adalah untuk menyokong calon BN.

Sebaliknya, jika mereka meletakkan calon-calon mereka, undi akan pecah Nasihat saya kepada rakyat Sarawak, supaya mereka sokong BN sahaja," katanya.

SWP dipimpin bekas Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Pelagus selama dua penggal, Larry Sng Wei Shien yang juga bekas Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri.

Beliau dipecat daripada PRS pada 2007 berhubung pertikaian kepimpinan dengan Presidennya Tan Sri Dr James Jemut Masing.

Sebelum itu, dalam ucapannya, Najib menafikan bahawa beliau sebagai Pengerusi BN dan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud sebagai pengerusi B Nnegeri menyokong penubuhan SWP.

"Kita hanya mengiktiraf dan menyokong PRS, PBB (Pesaka Bumiputera Bersatu), SUPP (Parti Rakyat Bersatu Sarawak) dan SPDP (Parti Demokratik Progresif Sarawak).

Ketika ditanya jika masanya sudah sesuai bagi pilihan raya umum ke-13 diadakan, Najib secara berseloroh berkata Pesta Gawai perlu dibenarkan untuk diteruskan terlebih dahulu.

Najib juga berkata beliau percaya BN negeri akan cemerlang dalam pilihan raya berdasarkan kepada kekuatan BN sedia ada dan sokongan rakyat di peringkat akar umbi.

"Berdasarkan keadaan ini, tiada sebab kenapa BN tidak boleh cemerlang di negeri ini. Tapi kita perlu bekerja keras sehingga ke penghujungnya," katanya.

Mengenai pandangan peribadi beliau mengenai Pesta gawai, Najib berkata ia merupakan sambutan penuh dengan nilai tradisi dan kebudayaan masyarakat Iban.

Beliau menyifatkan masyarakat itu sebagai golongan yang ramah dan mesra terutama kepada orang luar.

Katanya mereka sangat teruja dengan kehadiran beliau dan Taib yang melawat mereka di dua buah rumah panjang di sini dan di dewan orang ramai di Betong.

"Mereka mengadakan persiapan rapi dan memberi sambutan mesra kepada kami dan para pengunjung," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain