suria

Pekerja Kontrak Ditemui Mati lemas Di Pantai Klebang

MELAKA: Seorang pekerja kontrak tanaman, S. Mathavanan, 24, ditemui mati lemas di Dataran 1Malaysia, Pantai Klebang pada Sabtu.

Dia ditemui pada pukul 7 malam dalam operasi mencari dan menyelamat yang dilakukan pihak bomba.

"Kita menjumpai mayat mangsa kira-kira 10 meter dari tempat dia dilaporkan hilang," kata Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu, Yazid Mohd Tahir.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 4.22 petang sebelum tiba di tempat kejadian lapan minit kemudian.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka.

Adik perempuan mangsa, S. Anita, 20, berkata dia pergi ke pantai itu bersama abangnya dan empat lagi sepupu mereka, kira-kira pukul 2.30 petang.

"Mereka bermain selama kira-kira 30 minit, sementara saya dan yang lain melihat dari jauh. Ketika kejadian berlaku, saya tiada di situ kerana pergi membeli minuman. Sebaik saya kembali, saya tidak melihat abang saya. Selepas itu saya diberitahu abang saya telah hilang di dalam laut," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain