suria

MITE Capai Objektif Promosi Malaysia - Ng Yen Yen

SERDANG: Penganjuran 'Malaysia International Tourism Exchange' (MITE) 2012 berjaya mencapai matlamat mempromosi pelancongan negara kepada orang luar, kata Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.

Beliau berkata, Malaysia mempunyai semua sifat sebagai destinasi percutian ideal serta 'magnet' kepada pelabur.

"Penganjuran acara utama (MITE) ini telah menyedarkan minat pelabur, pelancongan dan anggota perdagangan pelancongan yang jenis perniagaan melibatkan perkhidmatan pelancongan pemasaran dan membina rangkaian hubungan perniagaan untuk perdagangan," katanya semasa majlis penutupan MITE malam Sabtu di sini.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Pegawai Eksekutif Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB), Zulkefli Sharif.

Dr Ng berkata, MITE meraih sokongan 370 penjual berdaftar Malaysia dan dari 11 negara lain serta 115 pembeli dari 23 negara, dengan 70 peratus dari Asean.

Beliau berkata, acara itu berjaya menghasilkan perkongsian pintar antara pembeli jemputan dan penjual sepanjang dua hari penganjuran sesi perniagaan ke perniagaan.

Dr Ng berkata, industri pelancongan tempatan menyasarkan untuk merekodkan 36 juta kedatangan pelancong dengan RM160 bilion dalam resit pelancongan menjelang 2020.

"Ini bermakna kita harus menggiatkan usaha untuk menarik lebih ramai pelancong bagi meningkatkan pendapatan pelancongan dari RM1 bilion seminggu kepada RM3 bilion seminggu pada 2020," katanya.

Beliau juga mengumumkan edisi MITE akan diadakan dari 6 hingga 9 Jun tahun depan. - BERNAMA

Artikel Lain