suria

Kastam Disaran Ketatkan Kawalan Untuk Cegah Penyeludupan Wang

BACHOK: Anggota kastam yang bertugas di pintu masuk sempadan Malaysia-Thailand disaran mengetatkan kawalan bagi mencegah aktiviti penyeludupan wang.

Timbalan Menteri Kewangan Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata langkah itu bagi mengelak cubaan seorang wanita warga Thailand menyeludup wang tunai berjumlah RM149,000 ke negara ini minggu lepas, daripada berulang.

Pihak Kastam perlu menyiasat motif wanita itu cuba menyeludup wang tersebut ke Malaysia, katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Satu Komuniti Satu JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) dan Juara Nelayan di Tawang dekat sini, Ahad.

Turut hadir Ketua Pengarah JPJ Datuk Solah Mat Hassan.

Awang Adek mengulas kejayaan Unit Pencegah Penyeludupan Kelantan menyekat cubaan penyeludupan wang itu.

Dalam insiden itu, sebahagian besar wang tersebut diikat pada tubuh wanita terbabit manakala selebihnya diisi dalam bag untuk mengelak daripada dikesan.

Awang Adek berkata tindakan itu kemungkinan bagi tujuan tukaran wang melibatkan Ringgit Malaysia dan Baht Thailand yang dikatakan sering dilakukan rakyat kedua-dua negara berjiran itu. - BERNAMA

Artikel Lain