suria

Dua Rumah Di Taman Sri Mawar Fasa 2, Senawang Hangus Dijilat Api

SEREMBAN: Dua buah rumah teres setingkat di Taman Sri Mawar Fasa 2 di Senawang, di sini musnah dijilat api dalam kebakaran, malam Sabtu.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 10 malam itu disedari oleh beberapa jiran berhampiran yang cuba memadamkan kebakaran sebaik melihat kejadian itu, namun tidak mampu menghalang dua dari tiga deretan rumah teres tersebut hangus.

Seorang saksi B. Balachandran, 28, berkata ketika kejadian dia sedang tidur di dalam salah sebuah rumah tersebut yang disewanya, sebelum terjaga apabila dikejutkan oleh teriakan jiran-jirannya dari luar rumah.

Dia yang keseorangan pada masa itu, terus keluar dan tergamam apabila melihat api sudah mula marak dan menghampiri rumahnya dan pada masa itu beberapa orang jirannya sedang cuba untuk memadamkan kebakaran tersebut.

"Pada masa yang sama, beberapa orang jiran saya turut membantu saya membawa keluar barangan untuk diselamatkan kerana api merebak dengan begitu pantas sekali.

"Saya juga berterima kasih kepada mereka kerana telah menyelamatkan saya jika tidak saya tidak tahu apa yang akan terjadi, katanya ketika ditemui di sini malam Sabtu.

Dalam pada itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Senawang, Izwani Abdul Hamid berkata pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 10.10 malam.

Katanya dua jentera bersama 13 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian bagi memadamkan kebakaran berkenaan dari terus merebak ke unit rumah yang lain.

"Api berjaya dipadamkan dalam tempoh 30 minit dan kebakaran itu memusnahkan keseluruhan dua daripada tiga rumah terbabit. Punca sebenar kejadian dan kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Sementara itu, Anggota Dewan Negara yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Rasah, Datuk Mohammed Najeeb Abdullah yang turut berkunjung ke lokasi kejadian malam Sabtu memberitahu akan memberi bantuan sewajarnya kepada setiap pemilik rumah yang terlibat dalam kebakaran itu.- BERNAMA

Artikel Lain