suria

Bot Terbakar: Nelayan, Tekong Nyaris Maut

SUNGAI PETANI: Seramai 20 nelayan termasuk seorang tekong bot nyaris maut apabila bot mereka yang dalam perjalanan menangkap ikan terbakar kira-kira empat batu nautika (kira-kira 8km) dari jeti nelayan Tanjung Dawai dekat sini Ahad.

Kejadian berlaku pukul 8.20 pagi dipercayai berpunca dari bahagian enjin sebelum api merebak ke seluruh bot.

Semua nelayan tersebut berusia antara 20 hingga 50 tahun bagaimanapun dapat diselamatkan oleh bot nelayan yang berada berhampiran tempat kejadian.

Seorang daripada mangsa, Mohd Faddi Mat Rani, 29, berkata dia dan rakan lain mula-mula nampak asap tebal kemudian api merebak dari bahagian belakang ke bahagian hadapan bot.

"Melihat api marak kami jadi panik, terus bertindak terjun ke laut menyelamatkan diri. Kami semua diselamatkan oleh rakan-rakan bot lain," katanya kepada pemberita ketika ditemui di jeti nelayan Tanjung Dawai.

Penolong Penguasa Bomba Sungai Petani, Arif Fadzilah Ani berkata pihaknya menerima panggilan pukul 8.29 pagi dan mengerahkan 11 anggota ke tempat kejadian bagi operasi menyelamat.

Katanya, ketika sampai hampir 65 peratus bot sudah terbakar dan pihaknya berjaya menyekat api daripada merebak.

"Bomba kemudian menarik bot ke jeti nelayan di sini bagi kerja memadamkan api," katanya.

Jumlah kerugian dan punca kejadian sedang disiasat. - BERNAMA

Artikel Lain