suria

WWW 1 Akan Digunakan Ke Atas Kereta Nasional

PETALING JAYA: Nombor plat WWW 1 yang kini menjadi milik Sultan Johor akan digunakan ke atas kereta nasional.

Sumber-sumber memberitahu mStar Online, Sultan Ibrahim Ibni AlMarhum Sultan Iskandar telah memutuskan untuk meletakkannya pada sebuah kereta Proton yang baru baginda beli.

Sebelum ini Sultan Ibrahim berjaya membida nombor WWW 1 itu pada harga RM520,000 daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan menggunakan wang peribadi baginda sendiri.

Adalah difahamkan juga, kereta Proton tersebut adalah sebuah kereta yang ditempa khas oleh Sultan Ibrahim untuk kegunaan salah seorang putera baginda.

Kereta Proton tersebut telah dibeli oleh Sultan Ibrahim beberapa bulan yang lalu tetapi masih belum membawanya pulang ke Johor Baharu.

Jelas sumber itu lagi, kereta Proton berkenaan akan tiba di Istana Pelangi, Johor Baharu dalam tempoh seminggu lagi.

Ia kini sedang di dalam proses pengubahsuaian hiasan dalaman sebelum diserahkan kepada Sultan Ibrahim.

Baru-baru ini, JPJ melalui laman webnya telah menyenaraikan nama-nama pembida kepada nombor plat WWW dan “D.Y.M.M. Sultan Ibrahim Johor” telah dinyatakan sebagai pembida yang berjaya membuat bidaan tertinggi mengatasi 9,998 pembida yang lain.

Jumlah RM520,000 yang dibayar oleh baginda adalah yang tertinggi yang pernah dibuat ke atas nombor tunggal.

Bidaan tertinggi untuk nombor plat satu digit sebelum ini adalah untuk nombor MCA 1, yang berjaya dijual oleh JPJ pada harga RM300,100 dua tahun yang lalu.

Sultan Ibrahim sememangnya dikenali sebagai seorang pengemar dan pengumpul kereta sports dan juga motosikal berkuasa tinggi.

Baginda juga gemar mengumpul nombor-nombor plat yang memiliki satu digit antaranya yang dimiliki oleh baginda ialah JJJ 1, JJ 1 dan JJ 2.

Artikel Lain