suria

Kerajaan Tubuh RCI Siasat Pendatang Asing Sabah

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menangani masalah berkaitan pendatang asing tanpa izin di Sabah, demikian diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat.

Beliau berkata kerajaan komited untuk menangani isu itu yang menurutnya mampu menjejaskan kesejahteraan dan keharmonian rakyat Sabah.

"Adalah diharapkan warga negeri Sabah akan mengambil manfaat daripada penubuhan RCI ini dan bersama-sama Kerajaan dalam mencari strategi dan pendekatan terbaik bagi menangani masalah berkaitan," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Najib berkata keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pandangan semua pihak.

"Jabatan Peguam Negara telah diamanahkan untuk mengemukakan cadangan Terma Rujukan (TOR) dan draf asas telah disediakan.

"Bagi memastikan perjalanan RCI kelak mengambil kira pandangan semua pihak, saya telah meminta Jabatan Peguam Negara untuk mendapatkan pandangan dan maklum balas daripada semua pihak berhubung draf awal TOR sebelum ia dimuktamadkan," katanya.

Perdana Menteri berkata penubuhan RCI tersebut merupakan manifestasi iltizam kerajaan dalam menjunjung prinsip keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

Dilaporkan, jumlah pendatang asing tanpa izin di Sabah dianggarkan menjangkau 500,000 orang.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata penubuhan RCI itu dilihat sebagai satu nilai tambah kepada usaha yang telah dan sedang dilaksanakan Kementerian Dalam Negeri dalam menangani isu berkaitan pendatang asing tanpa izin.

Beliau berkata ia adalah nilai tambah kepada usaha kementerian melalui Jawatankuasa Kabinet Pekerja Asing dan Pati (JKKPA-PATI) dan Makmal Pengurusan Warga Asing Nasional serta Makmal Khas Warga Asing Sabah.

"Kementerian Dalam Negeri menyambut baik pengumuman Perdana Menteri (Najib) tentang penubuhan RCI di Sabah.

"Penubuhan ini menzahirkan keprihatinan dan komitmen tinggi kerajaan dalam mendengar suara rakyat, sekali gus menangani sebarang permasalahan rakyat," katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berharap penubuhan RCI itu dapat membantu proses transformasi yang sedang dilaksanakan kerajaan di semua peringkat, termasuk sembilan agensi di bawah KDN.

"Harapan kita agar KDN dapat diperkasakan sebagai sebuah organisasi unggul dan cemerlang dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat serta menjaga keselamatan negara," katanya. BERNAMA

Artikel Lain