suria

APMM Rampas Dua Pucuk Pistol Buatan Sendiri & Peluru

KANGAR: Dua pucuk pistol buatan sendiri bersama lima butir peluru ditemui terikat pada pelampung di perairan Kuala Sanglang dekat sini semalam oleh pasukan peronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Penemuan senjata api itu hasil maklumat orang ramai yang melihat sesuatu dicampak keluar dari sebuah vesel yang dalam keadaan mencurigakan kira-kira 1.30 tengah hari.

Pengarah Operasi APMM Wilayah Utara Kapt (Maritim) Salim Ahmad berkata senjata api berserta peluru itu ditemui berada dalam bungkusan lutsinar yang diikat bersama ketul bata di bawah dua unit pelampung.

"Kami mengesan dua pelampung mencurigakan kira-kira pukul 2 petang dan semasa menaikkan dua pelampung putih itu terdapat bungkusan lutsinar yang turut diikat bersama seketul bata," katanya di Pangkalan APMM Kuala Perlis, Sabtu.

Salim berkata APMM belum dapat mengesan pihak yang bertanggungjawab meletakkan senjata api itu dan tiada sebarang tangkapan dilakukan setakat ini.

Pihak yang memberi maklumat juga tidak dapat memaklumkan kejadian itu secara jelas dan tidak pasti sama ada vesel yang terbabit adalah milik rakyat tempatan atau milik warga Thailand.

Kes disiasat mengikut Seksyen 32(1)(A) Akta Senjata Api 1960 yang sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara seumur hidup atau selama tempoh tidak melebihi 14 tahun.

Salim berkata rampasan senjata api itu adalah kes yang pertama bagi APMM Wilayah Utara kerana sebelum ini APMM wilayah itu banyak melakukan rampasan minyak dan sesekali dadah.

Beliau berkata APMM akan mengadakan operasi secara berterusan di perairan negara supaya tidak dicerobohi selain mengawal kegiatan jenayah maritim.

Beliau berharap orang ramai akan memberi kerjasama yang berterusan kepada APMM dengan melaporkan sebarang kes penyeludupan dan jenayah yang berlaku di perairan negara. - BERNAMA

Artikel Lain