suria

Amah Indonesia Kembali Bertugas Di Malaysia

KUALA LUMPUR: Berikutan keputusan Indonesia menarik balik pembekuan penghantaran pembantu rumah ke Malaysia berkuatkuasa 1 Disember 2011, kumpulan pertama 29 amah Indonesia mula bertugas semula dengan majikan tempatan pada Sabtu.

Wanita dari Jawa Timur yang tiba di Malaysia tiga hari lalu itu diserahkan kepada majikan masing-masing pada satu majlis khas di sini.

Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (PAPA), Jeffrey Foo berkata kemasukan semula pembantu rumah Indonesia itu menjadi realiti melalui memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Indonesia yang dimuktamadkan November lepas.

Beliau berkata MoU berkenaan lebih menjamin kebajikan amah dari negara jiran itu terutama dalam soal pembayaran gaji dan tugas mereka.

"Sekarang, majikan wajib membuka akaun khas untuk pembantu rumah Indonesia, dan kemasukan gaji akan dipantau bagi memastikan tidak ada unsur manipulasi," Foo memberitahu pemberita pada majlis itu.

Foo berkata tugas pembantu rumah dihadkan kepada melakukan kerja-kerja rumah sahaja manakala tugas seperti menjaga anak atau warga tua adalah terpulang kepada budi bicara pembantu rumah berkenaan.

"Majikan juga tidak boleh memaksa dan membuat aduan sekiranya amah mereka tidak mahir menjaga anak kecil kerana ia bukan kepakaran mereka," katanya.

Indonesia melaksanakan pembekuan sementara penghantaran pembantu rumah ke Malaysia pada Jun 2009 berikutan beberapa kejadian penderaan terhadap pembantu rumah Indonesia oleh majikan Malaysia.

Ditanya tentang cuti, Foo berkata setiap pembantu rumah berkenaan diberi cuti sehari seminggu, dan ia tidak semestinya jatuh pada hujung minggu sahaja.

"Jika mereka ingin bercuti pada hari bekerja (Isnin-Jumaat), ia perlu mendapat persetujuan majikan terlebih dahulu," kata presiden PAPA itu.

Bagaimanapun, jika pembantu rumah itu diminta bekerja pada hari mereka bercuti, majikan perlu membayar RM27 sehari dan bayaran tersebut tidak termasuk gaji RM700 sebulan, jelas Foo.

Beliau menarik perhatian bahawa kedatangan kumpulan pertama itu, walaupun bilangannya sedikit, merupakan hasil perbincangan kerajaan dengan pihak berkuasa Indonesia dalam usaha mengisi permintaan bagi mendapatkan pembantu rumah di Malaysia.

"PAPA sendiri menerima kira-kira 3,000 permintaan untuk pekerja domestik dan kedatangan 29 pembantu rumah dari Jawa Timur itu ialah hasil persetujuan bersama kedua-dua negara," katanya.

Penarikan balik pembekuan penghantaran pembantu rumah Indonesia ke Malaysia diumumkan selepas mesyuarat dua hala melibatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono di luar Sidang Kemuncak Asean di Bali pada November 2011. BERNAMA

Artikel Lain