suria

Tujuh Lelaki Ditahan Kes Samun, Curi Kereta Bernilai RM155,000

KUALA LUMPUR: Polis berjaya menumpaskan dua kes samun dan curi kereta yang melibatkan kerugian RM155,000 di ibu negara, berikutan penahanan tujuh lelaki bulan lepas.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abd Bari Wan Abd Khalid berkata tujuh suspek yang ditahan berasingan di Setapak dan pusat membeli-belah terkemuka di ibu negara, merupakan anggota kumpulan yang dikenali 'Geng Udang' dan 'Geng Ah Piow'.

Beliau berkata dalam kes pertama, kesemua lima anggota 'Geng Udang' berusia antara 16 dan 19 tahun ditahan susulan kes samun kediaman seorang profesor berusia 65 tahun di Bukit Indah, Jalan Klang Lama pada pukul 11 malam, 7 Mei lepas.

"Dengan bersenjatakan parang, dua anggota geng terbabit mengikat lelaki itu dan isterinya sebelum menyamun dua komputer riba, wang tunai RM600 dan melarikan kereta Toyota Vios mangsa," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields di sini, Jumaat.

Berikutan itu, beliau berkata polis menahan tiga anggota 'Geng Udang' di Jalan Desa Rejang, Setapak Jaya pada pukul 1.20 pagi, 11 Mei lepas dan merampas kereta Toyota Vios, enam jenis peralatan yang dipercayai digunakan untuk mencuri kereta dan barangan samun.

Hasil siasatan lanjut, katanya polis memberkas dua lagi anggota terbabit pada pukul 10 malam, 27 Mei lepas di sebuah rumah di Setapak.

Wan Abd Bari berkata geng itu dipercayai menyamun menggunakan parang dan terlibat dengan lebih daripada lima kes sama.

"Mereka didapati menganggur dan tiada rekod jenayah lampau. Tiga suspek dalam tangkapan pertama telah didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dua lagi masih direman sehingga Rabu depan untuk siasatan lanjut," katanya.

Wan Abd Bari berkata 'Geng Ah Piow' pula, yang terlibat dalam lapan kes jenayah di sekitar ibu negara dan Lembah Klang, mensasarkan kenderaan mewah jenis Toyota dan Honda di kediaman elit dan pusat membeli-belah terkemuka.

Beliau berkata susulan kehilangan kereta Honda Odessey di sebuah kawasan kediaman elit di ibu negara pada 16 April lepas, polis menahan dua anggota geng tersebut yang berumur 24 dan 32 tahun pada 25 Mei lepas di parkir sebuah pusat membeli-belah di sini.

"Hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek mempunyai kaitan dengan kes kecurian kereta berkenaan dan semasa ditahan, polis menemui 23 peralatan yang digunakan untuk mencuri kenderaan," katanya.

Beliau berkata antara barangan yang dirampas ialah playar pemotong wayar, dua wayar yang diubahsuai, lapan kunci pelbagai jenis kereta, dua bilah gunting pemotong wayar, lima pemutar skru, tiga tombol kunci kereta dan beberapa barangan lain.

Polis turut menemui semula kereta tersebut dan kedua-dua suspek ditahan reman sehingga esok untuk siasatan lanjut.

"Geng itu dipercayai dianggotai tiga orang dan polis sedang memburu seorang lagi," katanya. BERNAMA

Artikel Lain