suria

Pegawai Tanah Disiasat Berhubung Kes Seludup Pasir Ke Singapura

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat beberapa pegawai tanah daerah Pekan yang didakwa menyeludup pasir dari Sungai Pahang berhampiran Taman Industri Minyak, Gas dan Logistik Tanjung Agas ke Singapura.

Difahamkan pegawai SPRM telah mengambil beberapa dokumen milik sebuah syarikat perkapalan serta slip penyata bank dan dokumen-dokumen lain berkaitan dengan pergerakan kapal dari sungai itu ke Laut China Selatan.

Menurut sumber SPRM, suruhanjaya itu turut mendapatkan bukti transaksi wang antara pegawai-pegawai tanah terbabit dengan pihak-pihak tertentu.

Beliau berkata, siasatan berhubung penyeludupan itu bermula sejak beberapa bulan lalu selepas mendapat laporan daripada orang awam.

“Kami meneliti pergerakan kapal-kapal itu di Sungai Pahang sehingga ke laut dan membuka sebuah fail berhubung dakwaan kecurian pasir tiga bulan lalu.

“Syarikat perkapalan itu didapati telah memalsukan dokumen-dokumen pergerakan bot-bot besar dan kapal-kapal lain untuk mengelakkan ia dikesan oleh pihak berkuasa,” kata beliau.

Sumber itu turut memberitahu semua dokumen itu seolah-olah memberi gambaran bahawa bot-bot besar itu membawa bahan buangan untuk dibawa sejauh 30 batu nautika dari persisiran pantai sedangkan mereka sebenarnya membawa pasir ke Singapura.

“Kami percaya mereka ini telah menyeludup pasir bernilai jutaan ringgit ke Singapura sejak lebih setahun,” tambah sumber itu lagi.

The Star pada Khamis melaporkan mengenai sebuah syarikat swasta yang berurusan dengan pengendali operator Taman Industri Minyak, Gas dan Logistik Tanjung Agas disiasat kerana menyeludup pasir ke Singapura.

Syarikat itu diberikan kontrak untuk menjalankan penambakan pasir dan kerja-kerja pengorekan di dan sepanjang Sungai Pahang bagi melengkapkan pembangunan infrastruktur untuk sebuah taman, yang dirancang di kawasan berkeluasan 1,710 hektar.

Ia juga melaporkan bahawa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah menahan lebih 10 warga asing dalam satu serbuan baru-baru ini dan merampas sebuah kapal korek, enam bot besar dan dua kapal tunda.

Artikel Lain